Sejarah Ngayau / Perang diantara Kaum Dusun dan Kaum Kayan

Gambar Kaum Kayan dan Kaum Dusun Sabah pada Tahun 1870 dari buku "The Natural History of Man"


   Kaum Kayan merupakan kaum yang berasal dari Sungai Baram Sarawak. Mereka memiliki reputasi kaum yang kuat dan yang paling agresif di Sarawak. Sama seperti kaum Iban, mereka gemar melakukan aktiviti ngayau atau memburu kepala. Pada suatu hari, datanglah kaum Kayan dari arah Baram untuk melakukan ngayau di kawasan Belait Brunei. Kisah ini berlaku sekitar tahun 1870/80an pada zaman Dato Pemanca Saging, seorang pembesar kesultanan Brunei yang mentadbir daerah Belait. Zaman ini merupakan zaman pemerintahan Sultan Abdul Momin, di mana bangsa Kayan giat melakukan aktiviti ngayau, sehingga Kesultanan Brunei tidak memiliki kekuatan untuk menghalang aktiviti ini bahkan Kesultanan Brunei diancam oleh serangan ngayau dari kaum Dayak Kayan, Iban, Dusun, Lundayeh, Murut dan sebagainya. Untuk itu, tokoh tempatan terpaksa menggunakan pengaruh dan kekuatan mereka sendiri untuk menentang para pengayau tersebut.  

   Di zaman ini, kaum Dusun Brunei tidak lagi hidup nomadik, tetapi menetap tetap di suatu perkampungan. Kaum Dusun Belait mendirikan sebuah kota di Ulu Sungai Merangking. Kemudian datanglah kaum Kayan dari sungai Baram Sarawak menuju Brunei, mereka menyerang Kota orang Dusun di Ulu Sungai Merangking. Kaum Kayan memberitahu bahwa mereka akan menyerang (Samayao : pemberitahuan awal). Maka kaum Dusun mendirikan sebuah rumah besar dan tinggi di atas sebuah bukit, yang dibina untuk tujuan pertahanan. Dengan cerdiknya, kaum Dusun membina rumah itu dengan tiangnya agak rapat dengan batang kayu balak dinaikkan di rumah serta diikat; mereka juga mengumpulkan “salaong (salang)". 

   Datanglah kaum Kayan, dan dengan memandang remeh keupayaan kaum Dusun, mereka naik ke bukit untuk menyerang rumah besar pertahanan kaum Dusun. Ketika kaum Kayan mendekati rumah besar itu, kaum Dusun memutuskan tali yang mengikat setiap batang balak di rumah itu, berguling-guling menghempap dan mengilis banyak pahlawan Kayan sehingga banyak yang mati. Yang berjaya mengelak kayu balak itu pergi ke tiang-tiang rumah besar pertahanan Dusun dan cuba naik ke atas rumah besar itu. Namun, kaum Dusun telah memasak cecair “salaong” dan menyiram para penyerang melalui lubang-lubang di lantai rumah besar itu. Pahlawan-pahlawan Kayan itu tidak dapat mengelak siraman “salaong” itu kerana tiang-tiang rumah besar itu yang rapat-rapat, sehingga banyak yang mati disiram "salaong". Saki-baki kaum Kayan yang lain kemudian berundur setelah sebahagian besar pasukan mereka musnah, tanpa satupun kematian di pihak Dusun.   

   Kemudian datanglah kaum Kayan ke Belait untuk menyerang kaum Lundayeh Madi bagi membalas dendam kerana banyak kaum Kayan yang dibunuh oleh kaum Lundayeh Madi, sewaktu kaum Kayan datang ke Ulu Belait. Kaum Kayan telah menyerang kaum Lundyeh Madi, namun serangan kaum Kayan dipatahkan oleh pahlawan Lundayeh yang bernama Mugang Sidu. Setiap kali kaum Kayan menyerang, Mugang Sidu dan pengikutnya akan mengalahkan kaum Kayan. Maka, kaum Kayan merancang serangan mengejut atas kaum Lundayeh Madi. Tanpa “Samayao (pemberitahuan awal),” kaum Kayan menyerang kaum Lundayeh Madi di Bukit Barang, ketika Mugang Sidu tidak berada di sana. Kaum Lundayeh Madi di Bukit Barang habis dipotong kepala, kecuali beberapa yang berjaya melarikan diri dan memberitahukan itu kepada Mugang Sidu. Dengan perasaan marah, Mugang Sidu menyerang kaum Kayan dan membunuh banyak di antara mereka. Setelah lama berperang, akhirnya Mugang Sidu sendiri terkorban kerana bertarung dengan banyak musuh seorang diri. Sisa-sisa kaum Lundayeh Madi berhijrah ke Telamba, Brunei.

   Kaum Kayan kemudian terus mengejar dan menyerang kaum Lundayeh Madi di Telamba, sehingga mereka akhirnya pupus. Kaum Dusun di Telamba dan Papakan pula selamat dari serangan kaum Kayan kerana dibantu oleh seorang pembesar Brunei, iaitu Dato Pemanca Saging. Dato Pemanca Saging merupakan pembesar Brunei yang bertanggungjawab memimpin kaum Dusun berperang melawan kaum Kayan dari Baram, Sarawak. Dato Pemanca Saging memiliki baju kebal yang diperbuat dari kulit kayu yang dipakainya ketika bertempur dengan kaum Kayan. Dato Pemanca Saging juga dikatakan pernah bertempur dengan kaum Kayan dengan hanya menggunakan sehelai kain. Semua serangan-serangan kaum Kayan dipatahkan oleh Dato Pemanca Saging dan pasukan Dusunnya, sehingga kaum Kayan berundur dari Telamba dan Papakan.  

   Serangan kaum Kayan tidak berhenti di situ. Kaum Kayan kemudian membawa pasukan yang besar di bawah pimpinan Raja Kului dari Baram Sarawak untuk menyerang kaum Dusun di kawasan Bukit Pasal. Sebelum itu, kaum Kayan telah membunuh seorang wanita Dusun di kawasan Bukti Pasal. Ini membawa kemarahan pada kaum Dusun di Bukit Pasal dan Merangking. Kaum Dusun di Merangking mengutus seorang pahlawan hebat untuk memimpin kaum Dusun Bukit Pasal menentang kaum Kayan. Raja kaum Kayan yang bernama Raja Kului memiliki reputasi sebagai Raja dan pahlawan yang perkasa, maka, mau tidak mau kaum Dusun juga mengirim seorang pahlawan perkasa untuk menghadapi Raja Kului dan pasukannya. Pahlawan Dusun yang diutus ini bernama "Bandang". 

   Pada hari yang ditentukan untuk berperang, Raja Kului membawa pasukannya ke Bukit Pasal untuk bertempur dengan orang Dusun, sementara Bandang juga datang membawa pasukan Dusun untuk menghadapi mereka. Di medan perang, Bandang telah mencabar Raja Kului untuk bertarung dengannya “one-by-one.” Ini adalah akal Bandang untuk mengelakkan kematian yang lebih besar. Raja Kului menyahut cabaran itu dan dengan bersenjatakan Mandau, Raja Kului bertarung dengan Bandang. Raja Kului dan Bandang kedua-duanya pahlawan yang perkasa serta kebal, sehingga kedua-duanya tidak dapat melukai tubuh lawannya. Pertarungan antara Raja Kului, Raja kaum Kayan dari Baram dengan Bandang, pahlawan Dusun dari Marangking berlangsung sangat lama, sementara pasukan mereka melihat mereka bertarung. 

  Namun setelah sekian lama bertempur dengan jurus masing-masing, Raja Kului telah melakukan kesilapan besar setelah tidak dapat mengelak tetakan dr Bandang, sehingga tali “ubut” yang dipakainya itu terputus ditetak oleh Bandang. Tali “ubut” yang dipakai Raja Kayan itu putus sehingga semua isinya jatuh terburai. Tali “ubut” merupakan tempat letaknya kesemua azimat kaum Kayan; maka dengan putusnya tali “ubut” tersebut, menandakan semua kekuatan pelindung Raja Kayan telah hilang. Kerana takut dibunuh oleh Bandang, maka Raja Kului mengaku kalah pada Bandang. Dia bersumpah janji untuk tidak akan meyerang kaum Dusun lagi. Raja Kului dan Bandang yang kedua-duanya mewakili kaum Kayan-Dusun kemudian berdamai dengan melakukan upacara mengikat persaudaraan (bloodbrothers) yang dipanggil “baparit ra (raha)”. Kaum Kayan kemudian berundur dan tidak lagi  menyerang kaum Dusun.


Sumber Rujukan :  Dusunology
Note :  Cerita Digubah dari sejarah lisan Kaum Dusun Brunei
           Gambar Kaum Kayan dan Dayak Dusun Sabah Pada Tahun 1870, dari Buku "The Natural History of Man"

Comments

Popular posts from this blog

Asal Usul Kaum Kayan

Asal Usul Instrumen Muzik Sape'